20 Februari 2009

Alahai Undang-undang!

Entah kenapa tulisan sulung lewat blog ini terarah kepada isu "penderhakaan" yang begitu sibuk diperkatakan orang semenjak "peralihan kuasa" di Perak baru-baru ini. Saya tidak berminat untuk melempiaskan emosi tetapi lebih kepada cuba melihat isu ini dari perspektif sikap masyarakat mengenai undang-undang. Isu tindakan (berupa) undang-undang oleh Karpal Singh terhadap Sultan Perak menunjukkan yang kebanyakan orang lebih mengutamakan "wajar atau tidak" berbanding "boleh atau tidak". Secara peribadi saya beranggapan bahawa derhaka atau tidak Karpal ditentukan dengan menjawab persoalan mudah berikut: "bolehkah beliau mengambil tindakan undang-undang?" Jika jawabnya boleh maka tidak timbul soal derhaka. Masalah wajar atau tidak adalah soal "budi bicara" yang relatif sifatnya!


Menariknya, "krisis perlembagaan" di Perak ini menampakkan dengan jelas kelemahan perlembagaan didraf. Kita cukup sedih walaupun sudah lebih 50 tahun kita merdeka, kita masih tidak mampu mendraf undang-undang sendiri. Kita masih suka meniru. Ironisnya kekadang kita tersalah tiru.

Jika anda berbual dengan orang yang pernah terlibat dalam mendraf undang-undang anda akan ketahui bahawa hampir semua undang-undang ditiru bulat-bulat dari luar. Budaya salin dan tampal masih menular dalam proses mendraf undang-undang. Saya masih ingat bagaimana seksyen 132G Akta Syarikat 1965 yang tersalah tiru daripada Singapura. Saya juga tidak lupa bagaimana pada tahun 1992 beberapa ungkapan dalam Akta Syarikat 1965 (dukuatkuasakan pada 10 September 1992) disalahtafsirkan dalam bil yang dibentangkan di Parlimen. Ohh itulah perundangan di Malaysia.

Saya percaya konflik perlembagaan dan pertikaian dalam peruntukan undang-undang berpunca daripada metodologi mendraf undang-undang gaya lama yang masih kuat menggenggam daya fikir tradisional pendraf undang-undang. Undang-undang masih berbelit-belit (kononnya itulah undang-undang!), abstrak (kadangkala melebihi puisi), dalam bahasa sukar (sehingga semua berbangga kerana tak tahu maknanya). Itukah undang-undang? Saya rasa tidak!

Kenapa proses perlantikan MB dan pembubaran DUN begitu dibelit-belitkan, diadunkan secara lintang-pukang dan mempunyai proses yang kabur? Ingat, undang-undang perlembagaan Malaysia sudah berakar lebih setengah abad! Cara draf sudah tidak sesuai!

Oh, sekian. Saya hanya orang kampung biasa sahaja!

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.